24 September 2008

Bharian (24th Sept 2008)

Trez belum berkubur

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


(Dari kiri) Zimmy, Jim dan Eddz.

Single terbaru Hanya Kerana Nota dijadualkan tembusi corong radio selepas Aidilfitri

MUNGKIN ramai menyangkakan kumpulan Trez yang pernah dianggotai Jimmy Shanley, Jim dan Zimmy sudah berkubur. Sejak 2001, nama Trez tenggelam setelah salah seorang anggota kumpulan itu iaitu Zimmy mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran ke luar negara.

Tiada satu pun berita mengenai kumpulan itu kedengaran, kecuali Jimmy yang kini ligat mencipta nama sebagai pengacara program Trek Selebriti di Astro Ria.


Biarpun sudah lama berita mengenai mereka tidak kedengaran, hakikatnya kumpulan Trez masih belum berkubur. Baru-baru ini, Trez mengunjungi Balai Berita untuk memberitahu peminat bahawa mereka akan kembali merancakkan dunia seni suara bagi mengubati hajat melahirkan album yang tidak kesampaian sebelum ini.


Jim yang sebelum ini pernah bersama kumpulan X-Factor kembali menganggotai Trez bersama-sama dengan Zimmy. Manakala Jimmy yang kini lebih selesa dengan dunia pengacaraan tidak lagi bersama kumpulan itu. Tempat Jimmy diambil alih bekas anggota Boyz ‘R’ Us, Rozaiedy Amier Hamzah atau Eddz.

Menurut Zimmy dan Eddz, mereka pernah menubuhkan kumpulan yang diberi nama 4 Tones selepas sama-sama menyertai uji bakat Malaysian Idol 2. Tetapi kumpulan itu tidak dapat meneruskan hasrat untuk menembusi pasaran seni suara berikutan dua lagi anggota tidak dapat memberikan komitmen penuh.

Bagaimanapun, pertemuan Jim, Zimmy dan Eddz awal tahun ini membuahkan idea untuk kembali ‘menjual’ nama Trez. Kumpulan itu yang pernah muncul dengan dua buah single, Jangan Menangis dan Negatif yang dinyanyikan dengan nafas baru akan muncul dengan single terbaru Hanya Kerana Nota yang dijadualkan menembusi corong radio selepas Aidilfitri nanti.


Bercerita mengenai konsep yang akan diperkenalkan nanti, Trez mengetengahkan konsep pop rock tetapi menyuntik elemen harmoni. Populariti lagu Indonesia yang menjadi pilihan pendengar masa kini memberi idea kepada kumpulan itu untuk mengetengahkan genre sedemikian dalam album mereka kelak.

Buat permulaan, Trez memilih untuk memperkenalkan album mini terlebih dulu sebelum tampil dengan album penuh. Komposer yang menjadi pilihan mereka ialah Ash iaitu pemain dram kumpulan Bau.

“Memandangkan hasrat kami dulu untuk memiliki album tidak kesampaian. Kami mengambil keputusan untuk mengaktifkan semula Trez supaya kami dapat menggapai kembali impian kami yang musnah sebelum ini. Lagipun minat pada dunia nyanyian masih ada, jadi tidak salah untuk teruskan saja minat itu,” kata Jim atau nama sebenarnya Faizal Ezuan, 26.

Bagi merasai sendiri kepayahan menghasilkan album, Trez memilih untuk bernaung di bawah label sendiri Trez Entertainment kerana tidak mahu terikat apabila bernaung di bawah label lain.

Dengan label sendiri juga, mereka bebas untuk menentukan hala tuju album termasuk dalam soal pemilihan konsep lagu, lagu dan juga komposer.

“Ini adalah ‘bayi’ sulung Trez. Kami ingin cuba berdikari, kami mahu terbabit dalam semua proses dari pemilihan lagu hinggalah kepada penerbitan album.

“Dulu ketika kami baru hendak bergelar artis, kami tidak mendapat kepuasan. Jadi melalui syarikat sendiri kami bebas untuk menentukan perjalanan album dan kami tidak perlu terikat dengan siapa-siapa,” kata Trez.

Sekalipun sudah lama tidak muncul, Trez memberitahu ramai peminat yang masih bertanyakan mengenai perkembangan terbaru mereka. Kehadiran single mereka tidak lama lagi akan menjadi pengenalan semula mereka.

“Kami mahu peminat tahu yang kami bukan ‘boy band’. Album kami ada sedikit elemen rock tetapi bukan album rojak. Kalau boleh kami tidak mahu ambil komposer yang terlalu ramai dan lebih selesa mengekalkan Ash sebagai komposer untuk album ini.

“Kami juga tidak hasilkan album sebarang, tetapi kami ada bertanyakan pendapat peminat supaya lagu yang akan Trez tampil nanti sesuai dengan cita rasa mereka,” kata Trez yang memasang impian untuk mengikut jejak langkah KRU yang kini berjaya sebagai usahawan.

3 comments:

King Sidharth said...

Thanks for replying at
editor@thefriendz.biz
regarding interview..we are working on interview thing..please send us your e-mail so we can be in touch

TREZ said...

you can directly email to our Manager, sean kamal
sean_chemal@yahoo.com
Thanks you

TREZ said...

you can directly email to our Manager, sean kamal
sean_chemal@yahoo.com
Thanks you